Saturday, June 18, 2011

Kanta Lekap: Risiko dan Komplikasinya

                                                                   
Kanta lekap adalah kanta yang dipakai terus pada mata bagi memperbetulkan kecacatan refraksi. Terdapat tiga jenis kanta lekap iaitu keras, separa keras dan lembut. Bagi kanta lekap keras dan separa keras, ia dipisahkan oleh satu lapisan cecair air mata. Kanta lekap lembut, ia hampir bersentuhan atau melekap pada lapisan epitelium kornea mata. 

KEGUNAAN KANTA LEKAP

  •   Menggantikan cermin mata bagi memperbaiki kecacatan dan meningkatkan ketajaman mata.                                       
  • Perlindung untuk beberapa jenis penyakit kornea.
  • Memberi keselesaan kepada pemakai.
  •  Untuk tampil bergaya. Penggunaan kanta lekap berwarna untuk yang bermata normal adalah satu trend sekarang dan sekadar `berseronok-seronok'.

                         
RISIKO KANTA LEKAP 

Kanta lekap berperanan besar dalam membantu memperbaiki penglihatan. Pemakai kanta lekap ini bagaimanapun terdedah kepada pelbagai risiko tersendiri jika penggunaannya tidak dibuat dengan cara yang betul.

Pada dasarnya, kanta lekap adalah menempelkan benda asing kepada mata. Dengan demikian, ia berpotensi mengganggu keseimbangan mata terutamanya jika tidak dibersih mahu pun ditanggalkan sebagaimana waktu yang telah ditentukan.

IRITASI

Risiko utama adalah iritasi (kegatalan). Iritasi disebabkan oleh jangkitan mata dan boleh mengakibatkan kebutaan. Oleh itu tangan harus dicuci bersih semasa memasang kanta lekap agar tiada bakteria dapat masuk sewaktu pemakaian.

Kebanyakkan jangkitan mata berpunca daripada perawatan dan pemeliharaan kanta lekap yang tidak sempurna. Ia juga boleh berpunca daripada tempat penyimpanan kanta lekap yang tidak dibersihkan dan menjadi tempat pembiakkan bakteria. Pemakai kanta lekap perlu memastikan aspek kebersihan  mata dan tangan dan tempat penyimpanannya benar-benar terjaga.

PENGURANGAN OKSIGEN

Mata memerlukan oksigen. Pada waktu tidur, kadar oksigen pada mata berkurangan sehingga 1/3 dari ketika mata dalam keadaan berjaga pada waktu siang.

Pemakaian kanta lekap pada waktu tidur akan menyebabkan pengurangan oksigen yang ketara dan boleh mengakibatkan lapisan permukaan mata mudah mengalami pembengkakan terutama pada waktu pagi. Pemakai kanta lekap dengan itu disaran menanggalkan kanta sebelum masuk tidur.
          
MATA MERAH

Kanta lekap boleh menyebabkan lapisan mata mudah tergores dan  teriritasi. Tanda awal ialah  mata menjadi merah.

Pemakai kanta lekap disaran menanggalkan kanta apabila mata nampak merah. Jika tidak ditanggalkan, mata berpotensi dijangkiti kuman. Jika kuman kebetulan dari jenis yang sangat berjangkit, permukaan selaput mata boleh bertukar putih dalam masa 24 jam.


KOMPLIKASI PEMAKAIAN KANTA LEKAP


SUPERFICIAL PUNCTATE KERATITIS (SPK)

Permukaan kornea mata menjadi rosak biasanya disebabkan oleh pemakaian yang kanta yang terlalu ketat sehingga menyebabkan mata kekurangan oksigen (hypoxia), alergi, atau keracunan.

Gejala: Pemakai merasa tidak selesa, menjadi sangat sensitif pada cahaya (photophobia), dan hadirnya bintik-bintik di kornea mata.
Rawatan: Mengurangi atau menghentikan pemakaian kanta lekap.

ALAHAN

Radang atau iritasi terjadi kerana mata dimasuki bahan-bahan pembawa alahan seperti debu, serbuk atau makanan ke dalam mata.

Gejala: Rasa gatal, mata menjadi merah dan kelopak mata membengkak. Umumnya, alahan terjadi secara bermusim dan pemakai memang mempunyai sejarah alahan.
Rawatan: Hindari penyebab alahan. Hilangkan bengkak di mata dengan kompresi air dingin. Mengambil ubat  antiradang apabila terjadi keradangan dan alahan boleh diredakan dengan ubat alahan, antihistamines.

KERATOCONJUNCTIVITIS SICCA / SINDROM MATA KERING

Timbulnya bintik (keratitis) kronik pada kornea bawah. Komplikasi ini disebabkan oleh perembesan air mata pemakai yang tidak mencukupi.

Gejala: Mata rasa seperti terbakar, air mata sering keluar dan cairan di mata berlebihan.
Rawatan: Suplemen air mata atau menggantikan kanta. Sekiranya tidak berhasil, hentikan pemakaiannya.

KORNEAL EDEMA

Cairan dalam kornea menjadi berlebihan sehingga menimbulkan stres pada kornea, biasanya disebabkan oleh mata kekurangan oksigen.

Gejala: Photophobia, penglihatan menjadi kelam, mata merah dan tidak selesa semasa kanta lekap ditanggalkan. Pembuluh darah kelihatan lebih jelas dan timbul superficial punctate keratitis.
Rawatan: Menambah oksigen pada mata. Kurangkan atau menghentikan pemakaian kanta lekap.

INFILTRATES

Keradangan pada jaringan mata disebabkan oleh kanta lekap yang kurang bersih, oksigen yang kurang, tindak balas alahan hingga menimbulkan jangkitan.

Gejala: Biasanya, ia kelihatan seperti sekelompok sel berwarna putih. Penglihatan berkurang, mata merah, photophobia dan timbul bintik putih di mata.
Rawatan: Komplikasi ini diatasi dengan menghindari pemakaian kanta lekap, kerap menggantikan kanta lekap, mengambil antibiotik/steroid dan memberikan penekanan terhadap cara pembersihan kanta lekap.

JANGKITAN

Jangkitan terjadi akibat kontaminasi organisme berbahaya ke dalam mata seperti bakteria, kulat, protozoa dan virus.

Gejala: Mata menjadi merah, kelopak mata melekap, air mata meleleh, kurang penglihatan dan bintik pada kornea.
Rawatan: Menjaram dengan air dingin, menggunakan air mata buatan, dan terapi antibiotik, jika perlu.

MICROBIAL KERATITIS

Microbial keratitis terjadi apabila organisme berbahaya seperti bakteria, kulat, protozoa dan virus masuk ke dalam kornea mata hingga mengakibatkan pembengkakkan.

Gejala: Sakit pada mata, photophobia, air mata berlebihan, mata merah, dan penglihatan berkurang. Jika sudah parah, mata mengeluarkan nanah.
Rawatan: Terapi antibiotik, penggantian kanta lekap.

VASKULARISASI KORNEA

Vaskularisasi kornea adalah pembentukan pembuluh darah dalam jaringan avaskular (kornea). Seringkali disebabkan oleh kekurangan oksigen oleh pemakaian kanta lekap yang terlampau ketat.

Gejala: Kurang penglihatan serta timbul pembuluh darah di kornea.
Rawatan: Kurangkan pemakaian kanta lekap atau menggantikannya dengan kanta lensa yang menyokong oksigen sepenuhnya.

GIANT PAPILLARY CONJUNCTIVITIS (GPC)

GPC adalah keradangan papilari pada kelopak atas mata. Penyebabnya masih belum diketahui hingga kini walau ada yang mengaitkannya dengan pemakaian kanta yang berpanjangan.

Gejala: Gatal-gatal, penglihatan berkurang, kanta lebih banyak bergerak-gerak, tidak boleh memakai kanta biasa dan kelopak mata membengkak.
Rawatan: Kurangkan pemakaian kanta, menjaram air dingin, berjumpa doktor mata dengan segera.

Justeru, pencegahan dari timbulnya komplikasi akibat pemakaian kanta lekap adalah jauh lebih baik daripada mengubati. 

Setiap individu yang memakai kanta lekap berpotensi mengalami komplikasi-komplikasi yang disenaraikan sekiranya penjagaan kanta lekap dipandang remeh.

Oleh itu, kekerapan membersihkan kanta lekap serta jangka masa pemakaiannya sebagaimana yang disarankan perlulah dititikberatkan bagi mengelak sebarang kemungkinan.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.