Wednesday, December 21, 2011

Demam Kepialu (Typhoid Fever)


                                                               

Demam kepialu (typhoid fever) adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Salmonella  spesis. Demam ini sering terjadi di daerah endemik di India, Asia Tenggara, Asia Timur, Timur Tengah, Afrika, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Demam kepialu hanya menyerang manusia dan ia dapat disebarkan melalui makanan atau air minuman yang telah tercemar dengan najis atau air kencing pesakit atau pembawa demam kepialu.

Tanda-tanda:

Demam kepialu yang tidak diubati akan sembuh dalam masa 4 minggu. Pesakit akan mula menunjukkan tanda-tanda jangkitan beberapa hari (3 hingga 56 hari) setelah dijangkiti oleh bakteria yang telah disebutkan.

Tanda pertama yang muncul adalah demam dengan suhu yang tinggi. Suhu badan turun naik sekitar 39 atau 40 darjah Celcius. Selain itu, pesakit juga akan mengalami sakit kepala, sakit otot dan seluruh badan, penat, cirit birit, dan ruam akan timbul di kulit. Cair dan seperti sup kacang hijau adalah sifat khas bagi najis pesakit demam kepialu. Setelah berapa hari, cirit birit akan hilang dan pesakit berhenti terus dari membuang air besar.

Pesakit akan menjadi semakin lemah dari hari ke hari. Pada minggu ketiga, tahap kesedaran akan berkurang dan pesakit berada di dalam keadaan delirium. Ketika ini, pesakit seperti berada di dalam kekeliruan. Demam akan beransur-ansur surut padan minggu keempat.

Penyebab:

Penyebab utama demam kepialu ialah bakteria Salmonella typhi. Demam kepialu dapat disebarkan melalui makanan atau air minuman yang telah dicemari oleh najis atau air kencing daripada orang yang telah dijangkiti penyakit ini. Lalat juga merupakan salah satu penular penyakit ini.

Diagnosis:

Diagnosis dapat dibuat berdasarkan tanda-tanda penyakit yang telah disebutkan di atas dengan dibantu oleh beberapa maklumat seperti tempat pelancongan dan tempat makan yang baru dikunjungi sebelum sakit.

Beberapa pemeriksaan khusus juga perlu di buat. Biasanya sampel darah dan najis akan di ambil. Pemeriksaan bakteriologi dan serology akan di buat terhadap sampel yang telah di ambil.

Komplikasi:

Pendarahan dan perforasi (perforation) usus dapat terjadi apabila demam kepialu tidak diubati dengan segera. Kedua-dua keadaan ini boleh menyebabkan kematian. Selain itu, penyakit ini dapat merebak dan menyebabkan jangkitan ke paru-paru, jantung, dan buah pinggang.

Rawatan:

Antibiotik merupakan ubat utama dalam merawat demam kepialu. Pada suatu ketika dulu, ubat chloramphenicol digunakan sebagai ubat pilihan untuk merawat demam kepialu. Tetapi ubat tersebut tidak digunakan lagi kerana bakteria penyebab demam kepialu telah berevolusi dan tidak dapat dibunuh dengan chloramphenicol. Sekarang, ubat ciprofloxacin digunakan untuk merawat demam kepialu.

Selain itu pesakit juga harus minum air dengan banyak dan memakan makanan yang tinggi kalori untuk memberikan tenaga supaya badan cepat sihat.

Pencegahan:

Demam kepialu dapat dicegah dengan mengamalkan cara hidup yang sihat. Basuhlah tangan sebelum makan, elakkan makan di tempat yang kotor, jangan gunakan air dari sumber yang tidak dirawat, elakkan memakan makanan yang tidak dimasak, dan makanlah makanan yang masih panas. Selain itu, suntikan vaksin juga dapat mencegah penyakit ini.

Asma: Penyakit Saluran Pernafasan


                                      
                                                                                 
                                 
Asma adalah sejenis penyakit saluran pernafasan yang kronik yang melibatkan saluran udara yang membawa udara masuk dan keluar dari paru-paru. Ia menyebabkan kekejangan dada dan sesak nafas yang dikenali sebagai 'serangan atau episod asma'. Penyakit ini boleh membawa maut jika tidak dirawat atau dikawal dengan baik.

Bagi penyakit asma, saluran udara yang mengalami keradangan adalah sangat sensitif apabila terdedah kepada pelbagai ransangan atau "pencetus". Ia akan menjadi sempit, menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Terdapat dua jenis asma iaitu asma alahan dan bukan alahan. Seseorang itu berkemungkinan untuk mempunyai kedua-dua jenis asma ini.

Keterukan Asma:
  • Bagi serangan yang ringan dan berterusan, gejalanya muncul lebih dari dua kali dalam seminggu, tetapi bukan setiap hari.
  • Bagi serangan yang sederhana, individu yang terlibat akan mengalami gejala asma setiap hari.
  • Bagi serangan yang teruk, pesakit mempamerkan gejala yang berterusan dan kerap.
Penyebab:
  • Asma alahan disebabkan oleh alergen (pencetus alergi). Alergen ini biasanya mencetus gejala asma sewaktu penghidap asma bernafas. Saluran udara yang begitu sensitif akan mengalami pencerutan apabila alergen memasuki sistem penafasan melalui hidung.
  • Debunga, kulat dan hama adalah di antara alergen yang selalu hadir di udara. Kadangkala seseorang yang alah atau alergik boleh mendapat serangan asma apabila tertelan alergen. Contohnya seperti perisa makanan dan ubat-ubatan.
  • Untuk asma yang bukan alahan, pencetusnya tidak ada kaitannya dengan alahan tetapi masih mampu menimbulkan perubahan pada laluan udara sebagaimana tindakan alergen.
  • Contoh-contoh pencetus bukan alergen ialah:
Agen bawaan udara - sebatian yang bercampur dengan udara seperti wasap dan wap dan asap. Agen atau bahan yang yang boleh mencetus gejala asma ini boleh wujud di dalam dan di luar rumah. Satu contoh bahan yang boleh wujud di luar rumah ialah gas karbon monoksida dari asap kenderaan. Contoh-contoh bahan bawaan udara yang wujud di dalam rumah termasuklah asap dari dapur dan wap dari cat aerosol.

Jangkitan pada sistem penafasan - terutamanya demam dan selsema. Kuman-kuman virus akan menyerang pengalas saluran udara dengan merangsang hujungan saraf menyebabkan otot yang menyelaputi saluran udara semakin tercerut. Senaman dan juga lain-lain aktiviti fizikal mampu menyebabkan pesakit asma terpaksa bernafas dengan lebih cepat. Sesetengah individu menghidap asma yang teraruh oleh senaman.
Ini bermaksud mereka hanya mengalami gejala asma ketika bersenam.
Udara yang sejuk atau perubahan cuaca boleh mencetus asma kerana otot di sekitar saluran udara akan mengalami pencerutan sebagai tindakbalas terhadap suhu udara.
Emosi dan stres juga mampu mempengaruhi kekerapan dan keterukan asma. Desakan udara yang melalui saluran udara ketika marah dan resah mampu mencetuskan asma.

Faktor-Faktor Risiko
Faktor-faktor risiko asma adalah terdiri daripada faktor-faktor yang boleh menyebabkan keradangan pada saluran udara. Bagi mereka yang mengalami keradangan saluran. Udara sangat sensitif kepada pencetus asma.      

Pencemaran udara
Mereka yang mudah terdedah kepada pencemaran udara mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit ini. Ini termasuklah mereka yang tinggal di kawasan bandar, tinggal bersama-sama perokok dan yang bekerja di persekitaran yang tercemar. Udara yang tercemar mengandungi pelbagai pencetus asma seperti asap dan wasap. Biasanya, ibubapa yang mengidap Asma mempunyai 6 kali ganda risiko untuk memperoleh anak yang menghidap asma.

Bayi pramatang
Bayi pramatang juga memiliki risiko yang tinggi untuk menghidap Asma apabila umur mereka meningkat kelak. Ini kerana, sewaktu mereka dilahirkan, sistem respirasi mereka masih belum matang dan masih belum mampu berfungsi sepenuhnya. Golongan ini mudah menghidap Asma kerana mereka menghadapi masalah untuk
menyedut dan menghembus udara keluar dari paru-paru.

Merokok
Rokok mengandungi asap tembakau. Asap tembakau mengandungi pelbagai sebatian kimia yang boleh menyebabkan berlakunya keradangan pada saluran udara dan seterusnya menyebabkan asma.



Tuesday, December 20, 2011

Kanser Payu Dara Pembunuh Kaum Wanita



                                                             

Kanser payudara berpunca daripada sel-sel dalam tisu payudara yang berkembang dalam keadaan yang tidak terkawal yang kemudiannya bertukar struktur dan merebak serta menjangkiti tisu dan bahagian lain yang berdekatan.

Jika tidak dikesan dan dirawat secepat mungkin, kanser payudara boleh 
merebak ke kelenjar limfa dan bahagian badan yang lain seperti tulang, paru-paru dan hati.

Penyebab kanser payudara tidak diketahui. Setiap wanita berusia 20 tahun ke atas berisiko menghidap kanser payudara, walau bagaimanapun lebih kurang lima peratus turut berlaku dalam kalangan lelaki. Antara penyumbangnya kerana usia yang meningkat, mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara, telah mendapat kanser pada satu payudara, faktor keturunan sperti pembawa BRAC1, BRAC2 dan BRAC3, datang haid awal (sebelum umur 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas umur melebihi 50 tahun). Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur 30 tahun, mengambil makanan yang mengandungi banyak lemak atau kolestrol dan sebagainya lagi.

Tanda Amaran Kanser

Jika anda mengesan sebarang tanda seperti yang dinyatakan di bawah, sila terus merujuk doktor. Jangan takut, tidak semua ketumbuhan di payu dara adalah kanser. Contohnya: ‘Fibroadenoma’. Antara tanda-tanda amaran kanser payu dara adalah seperti:

·       Ketulan yang tidak sakit di payudara atau ketiak.
·       Ruam yang berterusan di sekeliling puting.
·       Pendarahan atau lelehan luar biasa dari putting.
·       Perubahan pada kulit; bengkak dan menebal, berlubang, permukaan kulit yang berkedut.
·       Puting tertarik ke dalam.

Untuk mengesan perubahan yang berlaku kepada payu dara anda sama ada berisiko atau tidak kepada penyakit kanser, ia boleh diperiksa oleh anda sendiri melalui pemeriksaan berkala. Pemeriksaan berkala merangkumi lima langkah iaitu:

·       Berdiri di hadapan cermin dan lihat sebarang perubahan pada payu dara.
·       Rasa sebarang perubahan secara berbaring.
·       Periksa puting untuk sebarang pendarahan atau lelehan.
·       Rasa ketulan di bawah ketiak.
·       Ulangi setiap langkah di atas untuk payu dara sebelah lagi.

Rawatan kanser payu dara yang diberi bergantung kepada jenis dan tahap kronik kanser, Sekiranya anda di diagnosakan menghidap kanser payu dara, anda perlu mendapatkan khidmat kaunseling terlebih dahulu sebelum rawatan dimulakan, Ia dapat membantu pemulihan dari segi fizikal dan mental pesakit.

Berikut pilihan rawatan yang dibuat seperti pembedahan tanpa membuang payu  dara (Breast Conservation Surgery), pembuangan payu dara (Mastectomy) dan pembentukan semula payu dara (Breast Reconstruction). Terdapat juga rawatan kemoterapi, radioterapi dan terapi hormon.

Sentiasa bersenam, kekalkan berat badan unggul dan sekiranya keluarga terdekat anda ada kanser payu dara, lakukan ujian ‘mammogram’ awal.

Alternatif Mengurangkan Risiko

Namun langkah pencegahan merupakan rahsia utama untuk membendung penyakit ini dengan memulakan pemeriksaan sendiri secara berkala, makan makanan kurang berlemak khususnya lemak haiwan, lebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan serat.
 
Kajian oleh Dr. Masakazu Toi dari Universiti Tokyo menyatakan pengambilan minuman mengandungi Lactobacillus casei Shirota (LcS) secara harian sejak umur belasan tahun dapat mengurangkan risiko kanser payudara di kalangan wanita.

Para penyelidik ini telah mengkaji kaitan antara pengambilan minuman mengandungi bakteria strain Shirota, iaitu minuman susu kultur jenama Yakult dan juga makanan berasaskan soya yang mengandungi isoflavon soya dengan kekerapan berlakunya kanser payu dara.  Kajian sebelum ini telah pun menunjukkan bahawa isoflavon soya, komponen yang terkandung dalam soya mempunyai fungsi melindungi daripada kejadian kanser payu dara.

Sumber: Fokus SPM, Bil. 124, November 2011.


Rawatan Segera Masalah Tumpul Memori



Setiap orang akan mengalami keadaan di mana graf memori akan berkurangan dari semasa ke semasa. Ia kesan sampingan yang normal berpunca daripada stres belajar, tekanan kerja dan kemungkinan besar akibat daripada peningkatan usia. Penumpulan memori yang serius mungkin juga disebabkan oleh dementia (penyakit Alzheimer atau salah satu bentuk penyakit nyanyuk- kemerosotan fungsi otak yang mengganggu kegiatan harian normal), memori berkurangan dapat dikembalikan dengan mengambil makanan untuka minda antaranya:

Buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan makanan kaya anti-oksidan:

                                            

     Sel otak yang dipanggil neuron mudah terdedah kepada pengoksidaan hasil daripada radikal bebas. Anti-oksidan yang boleh ditemui dalam kebanyakan buah-buahan, sayuran, kekacang, biji-bijian yang membantu meneutralkan radikal bebas. Apabila anda mengambilnya dalam kuantiti yang cukup, ia akan member perlindungan kepada bahagian-bahagian otak termasuk hippocampus(pusat memori).

Beri Biru:

                                                

     Dapat meningkatkan isyarat neuron yang membawa mesej yang lebih baik di antara sel saraf. Setengah cawan setiap hari dapat membekalkan khasiat sepanjang hari.

Telur:

                                              

     Salah satu makanan yang mengandungi kaolin, kompoun yang seakan-akan vitamin yang dipelukan sel untuk berfungsi dengan betul. Telur sangat penting diambil oleh golongan ibu mengandung kerana ia membantu proses pembesaran otak anak dalam kandungan mereka.

Bawang Putih:

                                             

     Mampu mengekalkan fungsi otak dan membantu menurunkan kadar kolestrol, tekanan darah tinggi serta mengurangkan radang. Tiga faktor yang berkaitan dengan masalah jantung dan dementia. Untuk khasiatnya, makan seulas bawang setiap hari.

Epal:

                                              

     Membantu daya ingatan kerana epal mengandungi quercetin dan anti-oksidan terutama pada bahagian kulitnya. Kandungan anti-oksidan yang tinggi pada sebiji epal dipercayai lebih efektif daripada vitamin C dan ia mengandungi sel otak daripada kerosakan akibat pengoksidaan tubuh. Sebiji epal sehari cukup untuk menampung keperluan harian.

Kayu Manis:

                                             

     Kayu manis secara saintifiknya dapat membantu otak untuk berfungsi dengan lebih baik. Kajian mendapati bahawa mengunyah gula-gula getah berperisa kayu manis dapat menambahkan daya ingatan jika sedang menghafal sesuatu jika dibandingkan dengan pengambilan gula-gula berperisa yang lain. Kayu manis dikatakan dapat menguatkan daya ingatan otak sekiranya ditambah pada masakan. Kayu manis doleh diambil dalam menu yang mudah seperti ditambah pada hirisan buah-buahan, bijian sarapan pagi, roti gandum, kopi dan juga sup.

Multi vitamin & Mineral:

                                              

     Otak merupakan organ tubuh yang kompleks dan memerlukan penjagaan rapi walaupun tadak dapat dilihat. Sebagai tambahan, ambil makanan ini untuk memastikan otak anda mendapat bekalan serta nutrient yang diperlukan yang mungkin tidak boleh didapati daripada makanan lain.

Zat Besi:

    Darah manusia memerlukan zat besi yang mencukupi untuk membantu menyampaikan bekalan oksigen ke otak. Mereka yang kekurangan zat besi atau masalah anaemia (masalah darah) biasanya mempunyai kebarangkalian untuk menghidapi penyakit hilang ingatan. Keperluan yang disyorkan adalah 18mg bagi lelaki dan wanita. Jika anda menghidapi masalah darah, dapatkan bantuan doctor untuk mengesan masalah yang mungkin dapat diselamatkan daripada bertukar menjadi masalah yang lebih besar.

Teh:

                                            

     Satu kajian yang dijalankan mendapati bahawa kandungan anti-oksidan dalam teh hitam dan hijau dapat menghalang pembentukan plak yang membesarkan lagi kemungkinan seseorang untuk mendapat penyakit dementia. Kajian juga menyarankan the dapat menghalang pembentukan protein yang melemahkan komunikasi antara neuron dan sekali gus menenggelamkan saluran memori otak. Sebaik-baiknya minum beberapa cawan teh sehari untuk menambahkan bilangan anti-oksidan yang hilang.

Sumber: Fokus SPM, Bil. 119, Jun 2011.





Wednesday, December 7, 2011

Cara-cara Menangani Luka



     Darah manusia berwarna merah, antara merah terang apabila beroksigen kepada merah tua apabila tiada oksigen. Warnanya disebabkan oleh hemoglobin, protein pernafasan (respiratory protein) yang mempunyai besi dalam bentuk heme, tempat oksigen bergabung. Darah beredar dalam saluran darah dan dikitarkan oleh jantung, pam otot. Darah melalui paru-paru untuk dioksigenkan dan dikitarkan ke seluruh tubuh oleh salur arteri. Darah mengedarkan oksigen keseluruh badan melalui saluran halus darah yang dipanggil kapillari. Darah kemudian kembali ke jantung melalui vein.


     Darah juga mengangkut bahan kumuhan metabolik, dadah dahan bahan kimia asing kepada hati untuk diuraikan dan kepada buah pinggang untuk disingkirkan sebagai air kencing.


1) Luka


     Luka boleh didefinasikan didefinasikan sebagai kecederaan kepada tisu yang disebabkan oleh benda-benda tajam atau tumpul. Luka juga boleh dikelaskan kepada beberapa jenis iaitu :


Luka Tertutup


Kecederaan kepada tisu di bawah kulit. Kesinambungan kulit tidak terganggu dan luka tidak dapat dilihat dari luar.


Luka Terbuka


Kecederaan kepada tisu kuli yang mana kesinambungan kulit terganggu. Luka dapat dilihat dari luar dan terdapat pendarahan yang keluar ke kulit.


Contoh Luka Terbuka:

  • Luka Terhiris
  • Luka Tikaman
  • Luka Terkoyak
  • Luka Tembakan
2) Cara Tangani Luka Terbuka

Untuk luka yang tidak banyak pendarahan:
  • Bersihkan luka dari sebarang kekotoran.
  • Tutup luka dengan kain yang bersih.
3) Pendarahan

     Definisi pendarahan ialah terkeluarnya darah daripada sistem peredarannya atau tercederanya sistem edaran.

4) Tips bantuan Kecemasan

- Bersihkan luka dari kotoran.
- Tekan di tempat luka supaya darah tidak mengalir keluar (tiada               
   benda asing) jika ada buat balutan cincin.
- Tahan darah secara tidak langsung (tempat tekan nadi).
- Tinggikan anggota luka untuk mengurangkan darah mengalir 

   keluar.


5) Cara Tradisional Hentikan Pendarahan Kecil


- Alirkan air paip pada luka yang berdarah, kemudian tuamkan  
  dengan ais dan letakkan serbuk kopi ke atas luka tersebut (Semua 
  jenis kopi boleh digunakan tetapi bukan kopi 3 in 1). Selepas
  beberapa minit, cuci luka tersebut dengan perlahan-lahan.
- Apabila luka telah dibersihkan, letakkan lendir daun lidah buaya
  ke atas luka tersebut. Biarkan sehingga kering. Hasilnya akan
  mengagumkan anda kerana buka sahaja darah akan berhenti 
  mengalir malah luka juga akan tertutup.
- Selepas luka dibersihkan, sapukan minyak gamat ke atas luka dan
  balut dengan kain bersih. Kemujaraban minyak gamat asli tiada 
  tandingannya berkenaan dalam menyembuhkan luka dalam waktu
  yang singkat.




Sumber:  Fokus SPM, Bil. 119, Jun 2011.
   

Saturday, June 18, 2011

Kanta Lekap: Risiko dan Komplikasinya

                                                                   
Kanta lekap adalah kanta yang dipakai terus pada mata bagi memperbetulkan kecacatan refraksi. Terdapat tiga jenis kanta lekap iaitu keras, separa keras dan lembut. Bagi kanta lekap keras dan separa keras, ia dipisahkan oleh satu lapisan cecair air mata. Kanta lekap lembut, ia hampir bersentuhan atau melekap pada lapisan epitelium kornea mata. 

KEGUNAAN KANTA LEKAP

  •   Menggantikan cermin mata bagi memperbaiki kecacatan dan meningkatkan ketajaman mata.                                       
  • Perlindung untuk beberapa jenis penyakit kornea.
  • Memberi keselesaan kepada pemakai.
  •  Untuk tampil bergaya. Penggunaan kanta lekap berwarna untuk yang bermata normal adalah satu trend sekarang dan sekadar `berseronok-seronok'.

                         
RISIKO KANTA LEKAP 

Kanta lekap berperanan besar dalam membantu memperbaiki penglihatan. Pemakai kanta lekap ini bagaimanapun terdedah kepada pelbagai risiko tersendiri jika penggunaannya tidak dibuat dengan cara yang betul.

Pada dasarnya, kanta lekap adalah menempelkan benda asing kepada mata. Dengan demikian, ia berpotensi mengganggu keseimbangan mata terutamanya jika tidak dibersih mahu pun ditanggalkan sebagaimana waktu yang telah ditentukan.

IRITASI

Risiko utama adalah iritasi (kegatalan). Iritasi disebabkan oleh jangkitan mata dan boleh mengakibatkan kebutaan. Oleh itu tangan harus dicuci bersih semasa memasang kanta lekap agar tiada bakteria dapat masuk sewaktu pemakaian.

Kebanyakkan jangkitan mata berpunca daripada perawatan dan pemeliharaan kanta lekap yang tidak sempurna. Ia juga boleh berpunca daripada tempat penyimpanan kanta lekap yang tidak dibersihkan dan menjadi tempat pembiakkan bakteria. Pemakai kanta lekap perlu memastikan aspek kebersihan  mata dan tangan dan tempat penyimpanannya benar-benar terjaga.

PENGURANGAN OKSIGEN

Mata memerlukan oksigen. Pada waktu tidur, kadar oksigen pada mata berkurangan sehingga 1/3 dari ketika mata dalam keadaan berjaga pada waktu siang.

Pemakaian kanta lekap pada waktu tidur akan menyebabkan pengurangan oksigen yang ketara dan boleh mengakibatkan lapisan permukaan mata mudah mengalami pembengkakan terutama pada waktu pagi. Pemakai kanta lekap dengan itu disaran menanggalkan kanta sebelum masuk tidur.
          
MATA MERAH

Kanta lekap boleh menyebabkan lapisan mata mudah tergores dan  teriritasi. Tanda awal ialah  mata menjadi merah.

Pemakai kanta lekap disaran menanggalkan kanta apabila mata nampak merah. Jika tidak ditanggalkan, mata berpotensi dijangkiti kuman. Jika kuman kebetulan dari jenis yang sangat berjangkit, permukaan selaput mata boleh bertukar putih dalam masa 24 jam.


KOMPLIKASI PEMAKAIAN KANTA LEKAP


SUPERFICIAL PUNCTATE KERATITIS (SPK)

Permukaan kornea mata menjadi rosak biasanya disebabkan oleh pemakaian yang kanta yang terlalu ketat sehingga menyebabkan mata kekurangan oksigen (hypoxia), alergi, atau keracunan.

Gejala: Pemakai merasa tidak selesa, menjadi sangat sensitif pada cahaya (photophobia), dan hadirnya bintik-bintik di kornea mata.
Rawatan: Mengurangi atau menghentikan pemakaian kanta lekap.

ALAHAN

Radang atau iritasi terjadi kerana mata dimasuki bahan-bahan pembawa alahan seperti debu, serbuk atau makanan ke dalam mata.

Gejala: Rasa gatal, mata menjadi merah dan kelopak mata membengkak. Umumnya, alahan terjadi secara bermusim dan pemakai memang mempunyai sejarah alahan.
Rawatan: Hindari penyebab alahan. Hilangkan bengkak di mata dengan kompresi air dingin. Mengambil ubat  antiradang apabila terjadi keradangan dan alahan boleh diredakan dengan ubat alahan, antihistamines.

KERATOCONJUNCTIVITIS SICCA / SINDROM MATA KERING

Timbulnya bintik (keratitis) kronik pada kornea bawah. Komplikasi ini disebabkan oleh perembesan air mata pemakai yang tidak mencukupi.

Gejala: Mata rasa seperti terbakar, air mata sering keluar dan cairan di mata berlebihan.
Rawatan: Suplemen air mata atau menggantikan kanta. Sekiranya tidak berhasil, hentikan pemakaiannya.

KORNEAL EDEMA

Cairan dalam kornea menjadi berlebihan sehingga menimbulkan stres pada kornea, biasanya disebabkan oleh mata kekurangan oksigen.

Gejala: Photophobia, penglihatan menjadi kelam, mata merah dan tidak selesa semasa kanta lekap ditanggalkan. Pembuluh darah kelihatan lebih jelas dan timbul superficial punctate keratitis.
Rawatan: Menambah oksigen pada mata. Kurangkan atau menghentikan pemakaian kanta lekap.

INFILTRATES

Keradangan pada jaringan mata disebabkan oleh kanta lekap yang kurang bersih, oksigen yang kurang, tindak balas alahan hingga menimbulkan jangkitan.

Gejala: Biasanya, ia kelihatan seperti sekelompok sel berwarna putih. Penglihatan berkurang, mata merah, photophobia dan timbul bintik putih di mata.
Rawatan: Komplikasi ini diatasi dengan menghindari pemakaian kanta lekap, kerap menggantikan kanta lekap, mengambil antibiotik/steroid dan memberikan penekanan terhadap cara pembersihan kanta lekap.

JANGKITAN

Jangkitan terjadi akibat kontaminasi organisme berbahaya ke dalam mata seperti bakteria, kulat, protozoa dan virus.

Gejala: Mata menjadi merah, kelopak mata melekap, air mata meleleh, kurang penglihatan dan bintik pada kornea.
Rawatan: Menjaram dengan air dingin, menggunakan air mata buatan, dan terapi antibiotik, jika perlu.

MICROBIAL KERATITIS

Microbial keratitis terjadi apabila organisme berbahaya seperti bakteria, kulat, protozoa dan virus masuk ke dalam kornea mata hingga mengakibatkan pembengkakkan.

Gejala: Sakit pada mata, photophobia, air mata berlebihan, mata merah, dan penglihatan berkurang. Jika sudah parah, mata mengeluarkan nanah.
Rawatan: Terapi antibiotik, penggantian kanta lekap.

VASKULARISASI KORNEA

Vaskularisasi kornea adalah pembentukan pembuluh darah dalam jaringan avaskular (kornea). Seringkali disebabkan oleh kekurangan oksigen oleh pemakaian kanta lekap yang terlampau ketat.

Gejala: Kurang penglihatan serta timbul pembuluh darah di kornea.
Rawatan: Kurangkan pemakaian kanta lekap atau menggantikannya dengan kanta lensa yang menyokong oksigen sepenuhnya.

GIANT PAPILLARY CONJUNCTIVITIS (GPC)

GPC adalah keradangan papilari pada kelopak atas mata. Penyebabnya masih belum diketahui hingga kini walau ada yang mengaitkannya dengan pemakaian kanta yang berpanjangan.

Gejala: Gatal-gatal, penglihatan berkurang, kanta lebih banyak bergerak-gerak, tidak boleh memakai kanta biasa dan kelopak mata membengkak.
Rawatan: Kurangkan pemakaian kanta, menjaram air dingin, berjumpa doktor mata dengan segera.

Justeru, pencegahan dari timbulnya komplikasi akibat pemakaian kanta lekap adalah jauh lebih baik daripada mengubati. 

Setiap individu yang memakai kanta lekap berpotensi mengalami komplikasi-komplikasi yang disenaraikan sekiranya penjagaan kanta lekap dipandang remeh.

Oleh itu, kekerapan membersihkan kanta lekap serta jangka masa pemakaiannya sebagaimana yang disarankan perlulah dititikberatkan bagi mengelak sebarang kemungkinan.