Showing posts with label Informasi Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Informasi Kesihatan. Show all posts

Friday, July 20, 2012

Makanan Pengurang Keletihan


1- Oatmeal

                                                              

Oatmeal atau mil oat kini dianggap sebagai makanan super kerana kemampuannya dalam menjaga kesihatan pencernaan. Untuk alasan tersebut, banyak amalan perubatan dan ahli gizi yang mendorong pesakit diabetis mengambil oatmeal, terutama bagi membantu menjaga kadar gula darah berada pada paras normal.

Selain kandungan serat yang tinggi, oatmeal menyediakan magnesium, protein dan fosforus, tiga nutrien yang signifikan secara langsung mempengaruhi tahap tenaga, menjadikannya sebagai makanan ideal untuk memerangi keletihan. Oatmeal juga merupakan sumber vitamin B1 (tiamin), yang berperanan penting dalam menghasilkan tenaga.

2- Yogurt

                                                               

Teksturnya yang lembut, membuat yogurt dapat diproses dengan cepat oleh tubuh menjadi tenaga berbanding makanan padat. Ia mengandungi probiotik-bakteria baik yang membantu mempertahankan ekosistem usus agar sentiasa sihat dengan melindungi  daripada pathogen dan membantu tubuh menyingkirkan bacteria berbahaya.

Penelitian terbaru Universiti Toronto menunjukkan probiotik dapat membantu mengurangkan gejala keletihan kronik dengan meningkatkan kadar asid amino triptofan pada otak. Triptofan dikenal sebagai pemangkin serotonin, suatu neurotransmitter yang membantu marangsang tidur dan mempromosikan perasaan tenang, membantu memerangi keletihan sama ada daripada segi fizikal dan emosi.

3- Bayam

                                                               

Bayam penuh dengan kandungan nutrient penting yang berfungsi melenyapkan keletihan. Sayuran ini tidak hanya menjadi sumber terbaik daripada sumber zat besi tetapi juga sangat kaya dengan magnesium dan kalium. Zat besi memainkan peranan secara langsung dan penting dalam menghindari keletihan. Kadar zat besi yang rendah dalam tubuh menyebabkan keletihan baik daripada aspek fizikal dan mental serta anemia.

4- Kekacang dan biji-bijian

                                                               

Biji labu, badam, kacang gajus dan kacang hazel adalah semua sumber magnesium baik yang membantu melawan keletihan otot. Kandungan triptofan yang banyak ditemui pada biji-bijian, biji bunga matahari, biji labu, biji gajus, walnut dan badam berfungsi melawan keletihan emosi yang secara langsung membantu meringankan keletihan fizikal.

Friday, March 9, 2012

Chikungunya


                                                                

Pengenalan

Chikungunya adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Chikungunya yang berjangkit melalui  gigitan nyamuk Aedes. Nyamuk Aedes juga menyebarkan jangkitan demam denggi.

Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Kebanyakan pesakit mengalami gejala yang tidak berlarutan dan sembuh sepenuhnya. Tetapi sebahagian pesakit terutama yang berumur boleh mengalami gejala sakit sendi yang berpanjangan lebih lama daripada biasa.

Kebiasaannya pesakit yang dijangkiti akan mendapat imuniti sepanjang hayat.

Masa Pengeraman

Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara 3 hingga 7 hari.

Tanda atau Gejala

Gejala utama:

·       Demam panas yang mendadak (suhu 38 darjah Celcius atau lebih).
·       Sakit sendi terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan, buku lali dan rasa ngilu pada tulang.
·       Ruam pada tangan.

Gejala lain:

·       Sakit kepala.
·       Mata merah.
·       Loya dan muntah.
Seorang pesakit boleh demam dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).
Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.

Rawatan

·       Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan khusus.
·       Selalunya rawatan diberikan berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit.
·       Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar.
·       Tiada vaksin bagi penyakit ini.

Cara Pencegahan Penyakit Chikungunya

·       Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong-royong. Adalah terbukti tiada kes baharu yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang telah melakukan gotong-royong.
·       Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.
·       Pastikan semua bekas terpakai yang boleh menakung air dibuang dengan betul.
·       Tutup semua berkas menyimpan air atau, (1) Masukkan bahan pembunuh jentik-jentik seperti temephos dan bacillus thuringieusis israelensis (Bti), (2) Tukar air dan sental sehingga bersih, seminggu sekali.
·       Tukar air dan bersihkan bekas bunga setiap minggu.
·       Cuci dan sental hingga bersih piring pasu bunga untuk menghapuskan telur nyamuk Aedes setiap minggu.
·       Periksa palong hujan (roof gutter) dan pastikan air tidak bertakung.
·       Hapuskan nyamuk  Aedes dewasa menggunakan semburan racun serangga (aerosol).
·       Elakkan gigitan nyamuk dengan cara; (1) memakai pakaian menutup anggota, (2) pasang jejaring pada tingkap rumah, (3) menggunakan repellant (lingkaran ubat nyamuk, semburan aerosol, losyen/krim).

Sumber Berkhasiat untuk Rambut


                                                             
                                                                  

Protein
Ikan, telur dan susu kerana ia merupakan nutrient yang penting untuk rambut.
Vitamin A
Sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin A dan beta kerotena yang penting untuk mengekalkan kesihatan tisu kulit kepala.
Vitamin B
Rambut memerlukan vitamin B bagi meningkatkan metabolism sel kulit kepala dan pastikan anda mengambil lebih banyak susu, bijirin penuh dan sayuran hijau.
Vitamin C
Boleh didapati daripada buah-buahan dan sayur-sayuran yang merupakan antioksidan semula jadi. Ia memastikan pembentukan kolagen.
Zink
Penting untuk rambut keran kekurangan zink boleh menyebabkan rambut kering dan kulit kepala berminyak. Ia boleh diperoleh daripada daging, makanan laut, telur dan susu.
Kuprum
Penting untuk mengekalkan warna dan struktur rambut. Berada dalam bijirin penuh, tiram, legume dan kekacang.
Zat besi
Aprikot, brokoli dan kacang merah panggang dapat menambah baik bekalan darah dan oksigen pada bahagian rambut.
Iodin
Makanan laut dan sayur-sayuran untuk membantu mengawal hormone tiroid.
Air putih
Minum banyak air bagi menjamin kelembapan rambut dan kulit kepala.

Sumber:  Akhbar Kosmo!, 6 Mac 2012.


Tuesday, March 6, 2012

Pedih Ulu Hati



                                                                  

Pengenalan
Pedih ulu hati disebabkan oleh asid perut yang mengganggu bahagian bawah esofagus. Ia terjadi kerana injap di bahagian atas perut dikenali sebagai Lower Esophageal Sphincter (LES) tidak tertutup. Oleh itu, asid ini memasuki bahagian esofagus yang tidak mempunyai lapisan penebat bahan kimia sekali gus menyebabkan kesan kimia terjadi. Kenyataan yang selalu diuarkan ialah seperti sakit dada yang membakar. Gejala ini selalunya terjadi selepas memakan makanan berat. 
                                 
Pedih ulu hati adalah gejala biasa dan tidak berbahaya. Sekiranya masalah ini jarang terjadi, seseorang itu tidak perlu khuatir. Namun ada sesetengah orang yang kerap mengalaminya malah ada yang setiap hari. Kekerapan ini boleh menyebabkan masalah yang lebih serius dan memerlukan perhatian perubatan. Kekerapan pedih ulu hati boleh ditafsirkan sebagai gejala Gastro Esophageal Reflux Disease (GERD). 

Tanda atau Gejala
Gejala pedih ulu hati boleh terjadi dalam pelbagai jenis keadaan termasuk:
  • Rasa terbakar di dada atau di bawah tulang dada.
  • Sakit dada selepas tunduk, berbaring dan selepas makan.
  • Rasa terbakar dan kepanasan di dalam tekak atau, cecair panas masam, masin di belakang tekak.
  • Sendawa.
  • Batuk yang teruk.
  • Suara menjadi serak.
  • Pernafasan  yang berbunyi seperti serangan asma.

Komplikasi
Sekiranya pedih ulu hati yang teruk, anda memerlukan diagnosa gastroesophageal reflux, Barret's esophagus, peptic ulser atau kanser. Jumpalah doktor bagi mengesahkan diagnosa tersebut. Komplikasi yang mungkin berlaku termasuklah Oesophagitis, Strictures atau Barret's oesophagus. 

Rawatan 
Kebanyakan orang boleh mengawal ketidakselesaan pedih ulu hati dengan mengamalkan cara hidup yang sihat atau mengambil ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor. Tetapi, sekiranya ia semakin teruk, ubatan ini mungkin hanya mampu membantu untuk sementara waktu. Sekiranya anda mengalami GERD, anda mungkin memerlukan ubatan lain untuk mengurangkan gejala.

Sekiranya mengalami pedih ulu hati yang teruk anda boleh meredakannya dengan menukar tabiat pemakanan anda. Berhenti merokok juga sangat membantu dalam menangani gejala ini. Antacids atau bismuth subsalicylate boleh mengurangkan kesakitan pedih ulu hati dengan meneutralkan asid perut bagi serangan sekali sekala dan boleh didapati di kedai-kedai ubat atau farmasi berhampiran anda. Metaclopramide juga boleh diambil bagi mengosongkan perut dengan kadar segera. 

Pembedahan 
Pembedahan mungkin diperlukan untuk membetulkan lower oesophageal sphincter dan menghentikan tidak balas refluk asid. Pembedahan boleh dilakukan dengan menggunakan laparoskop dan hanya memerlukan rawatan  selama beberapa hari di hospital.

Gastroscopy perlu dilakukan hanya sekali sebelum pesakit menjalani pembedahan untuk melihat sejauh mana komplikasi seperti Barret's oesophagus (keadaan kanser yang berpotensi, kanser berkemungkinan terjadi akibat terlalu lama terdedah kepada asid perut) atau kanser esofagus. Sekiranya Berret's oesophagus ditemui, proses gastroscopy tahunan perlu dilakukan bagi melihat perkembangan kanser maglinan. 

Pencegahan
  • Mengawal sukatan pemakanan.
  • Menukar amalan pemakanan boleh mengurangkan gejala pedih ulu hati.
  • Mengenalpasti serta mengelakkan makanan yang mampu memberikan kesan kepada anda. 
  • Elakkan makanan pedas dan berempah terutamanya kari, minuman berkarbonat serta makanan yang telah diawet.
  • Cuba kurangkan memakan makanan yang telah digoreng atau berlemak. Kembung perut biasanya terjadi akibat memakan makanan berlemak. Lemak akan melambatkan proses pencernaan serta menambahkan rasa sakit perut.

Pengubahsuaian Cara Hidup
  • Amalkan memakan jumlah makanan yang sedikit. Makan dengan jumlah yang sedikit secara lebih kerap berbanding hanya dua atau tiga kali jumlah yang banyak.
  • Makan perlahan-lahan, kunyah makanan dan elakkan dari terus menelan. Sekiranya anda mempunyai masalah, letakkan sudu dan garfu setiap kali suapan.
  • Jangan makan ketika merasa bimbang, cemas atau kecewa. Makanlah dalam keadaan tenang  serta dengan perlahan lahan. Makan ketika dalam tekanan akan menyebabkan ketidakhadaman dalam perut.
  • Berhenti merokok. Menghisap rokok boleh menambahkan jumlah udara yang tertelan sekali gus menyebabkan ketidakcernaan.

Tuesday, December 20, 2011

Kanser Payu Dara Pembunuh Kaum Wanita



                                                             

Kanser payudara berpunca daripada sel-sel dalam tisu payudara yang berkembang dalam keadaan yang tidak terkawal yang kemudiannya bertukar struktur dan merebak serta menjangkiti tisu dan bahagian lain yang berdekatan.

Jika tidak dikesan dan dirawat secepat mungkin, kanser payudara boleh 
merebak ke kelenjar limfa dan bahagian badan yang lain seperti tulang, paru-paru dan hati.

Penyebab kanser payudara tidak diketahui. Setiap wanita berusia 20 tahun ke atas berisiko menghidap kanser payudara, walau bagaimanapun lebih kurang lima peratus turut berlaku dalam kalangan lelaki. Antara penyumbangnya kerana usia yang meningkat, mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara, telah mendapat kanser pada satu payudara, faktor keturunan sperti pembawa BRAC1, BRAC2 dan BRAC3, datang haid awal (sebelum umur 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas umur melebihi 50 tahun). Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur 30 tahun, mengambil makanan yang mengandungi banyak lemak atau kolestrol dan sebagainya lagi.

Tanda Amaran Kanser

Jika anda mengesan sebarang tanda seperti yang dinyatakan di bawah, sila terus merujuk doktor. Jangan takut, tidak semua ketumbuhan di payu dara adalah kanser. Contohnya: ‘Fibroadenoma’. Antara tanda-tanda amaran kanser payu dara adalah seperti:

·       Ketulan yang tidak sakit di payudara atau ketiak.
·       Ruam yang berterusan di sekeliling puting.
·       Pendarahan atau lelehan luar biasa dari putting.
·       Perubahan pada kulit; bengkak dan menebal, berlubang, permukaan kulit yang berkedut.
·       Puting tertarik ke dalam.

Untuk mengesan perubahan yang berlaku kepada payu dara anda sama ada berisiko atau tidak kepada penyakit kanser, ia boleh diperiksa oleh anda sendiri melalui pemeriksaan berkala. Pemeriksaan berkala merangkumi lima langkah iaitu:

·       Berdiri di hadapan cermin dan lihat sebarang perubahan pada payu dara.
·       Rasa sebarang perubahan secara berbaring.
·       Periksa puting untuk sebarang pendarahan atau lelehan.
·       Rasa ketulan di bawah ketiak.
·       Ulangi setiap langkah di atas untuk payu dara sebelah lagi.

Rawatan kanser payu dara yang diberi bergantung kepada jenis dan tahap kronik kanser, Sekiranya anda di diagnosakan menghidap kanser payu dara, anda perlu mendapatkan khidmat kaunseling terlebih dahulu sebelum rawatan dimulakan, Ia dapat membantu pemulihan dari segi fizikal dan mental pesakit.

Berikut pilihan rawatan yang dibuat seperti pembedahan tanpa membuang payu  dara (Breast Conservation Surgery), pembuangan payu dara (Mastectomy) dan pembentukan semula payu dara (Breast Reconstruction). Terdapat juga rawatan kemoterapi, radioterapi dan terapi hormon.

Sentiasa bersenam, kekalkan berat badan unggul dan sekiranya keluarga terdekat anda ada kanser payu dara, lakukan ujian ‘mammogram’ awal.

Alternatif Mengurangkan Risiko

Namun langkah pencegahan merupakan rahsia utama untuk membendung penyakit ini dengan memulakan pemeriksaan sendiri secara berkala, makan makanan kurang berlemak khususnya lemak haiwan, lebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan serat.
 
Kajian oleh Dr. Masakazu Toi dari Universiti Tokyo menyatakan pengambilan minuman mengandungi Lactobacillus casei Shirota (LcS) secara harian sejak umur belasan tahun dapat mengurangkan risiko kanser payudara di kalangan wanita.

Para penyelidik ini telah mengkaji kaitan antara pengambilan minuman mengandungi bakteria strain Shirota, iaitu minuman susu kultur jenama Yakult dan juga makanan berasaskan soya yang mengandungi isoflavon soya dengan kekerapan berlakunya kanser payu dara.  Kajian sebelum ini telah pun menunjukkan bahawa isoflavon soya, komponen yang terkandung dalam soya mempunyai fungsi melindungi daripada kejadian kanser payu dara.

Sumber: Fokus SPM, Bil. 124, November 2011.


Saturday, June 18, 2011

Kanta Lekap: Risiko dan Komplikasinya

                                                                   
Kanta lekap adalah kanta yang dipakai terus pada mata bagi memperbetulkan kecacatan refraksi. Terdapat tiga jenis kanta lekap iaitu keras, separa keras dan lembut. Bagi kanta lekap keras dan separa keras, ia dipisahkan oleh satu lapisan cecair air mata. Kanta lekap lembut, ia hampir bersentuhan atau melekap pada lapisan epitelium kornea mata. 

KEGUNAAN KANTA LEKAP

  •   Menggantikan cermin mata bagi memperbaiki kecacatan dan meningkatkan ketajaman mata.                                       
  • Perlindung untuk beberapa jenis penyakit kornea.
  • Memberi keselesaan kepada pemakai.
  •  Untuk tampil bergaya. Penggunaan kanta lekap berwarna untuk yang bermata normal adalah satu trend sekarang dan sekadar `berseronok-seronok'.

                         
RISIKO KANTA LEKAP 

Kanta lekap berperanan besar dalam membantu memperbaiki penglihatan. Pemakai kanta lekap ini bagaimanapun terdedah kepada pelbagai risiko tersendiri jika penggunaannya tidak dibuat dengan cara yang betul.

Pada dasarnya, kanta lekap adalah menempelkan benda asing kepada mata. Dengan demikian, ia berpotensi mengganggu keseimbangan mata terutamanya jika tidak dibersih mahu pun ditanggalkan sebagaimana waktu yang telah ditentukan.

IRITASI

Risiko utama adalah iritasi (kegatalan). Iritasi disebabkan oleh jangkitan mata dan boleh mengakibatkan kebutaan. Oleh itu tangan harus dicuci bersih semasa memasang kanta lekap agar tiada bakteria dapat masuk sewaktu pemakaian.

Kebanyakkan jangkitan mata berpunca daripada perawatan dan pemeliharaan kanta lekap yang tidak sempurna. Ia juga boleh berpunca daripada tempat penyimpanan kanta lekap yang tidak dibersihkan dan menjadi tempat pembiakkan bakteria. Pemakai kanta lekap perlu memastikan aspek kebersihan  mata dan tangan dan tempat penyimpanannya benar-benar terjaga.

PENGURANGAN OKSIGEN

Mata memerlukan oksigen. Pada waktu tidur, kadar oksigen pada mata berkurangan sehingga 1/3 dari ketika mata dalam keadaan berjaga pada waktu siang.

Pemakaian kanta lekap pada waktu tidur akan menyebabkan pengurangan oksigen yang ketara dan boleh mengakibatkan lapisan permukaan mata mudah mengalami pembengkakan terutama pada waktu pagi. Pemakai kanta lekap dengan itu disaran menanggalkan kanta sebelum masuk tidur.
          
MATA MERAH

Kanta lekap boleh menyebabkan lapisan mata mudah tergores dan  teriritasi. Tanda awal ialah  mata menjadi merah.

Pemakai kanta lekap disaran menanggalkan kanta apabila mata nampak merah. Jika tidak ditanggalkan, mata berpotensi dijangkiti kuman. Jika kuman kebetulan dari jenis yang sangat berjangkit, permukaan selaput mata boleh bertukar putih dalam masa 24 jam.


KOMPLIKASI PEMAKAIAN KANTA LEKAP


SUPERFICIAL PUNCTATE KERATITIS (SPK)

Permukaan kornea mata menjadi rosak biasanya disebabkan oleh pemakaian yang kanta yang terlalu ketat sehingga menyebabkan mata kekurangan oksigen (hypoxia), alergi, atau keracunan.

Gejala: Pemakai merasa tidak selesa, menjadi sangat sensitif pada cahaya (photophobia), dan hadirnya bintik-bintik di kornea mata.
Rawatan: Mengurangi atau menghentikan pemakaian kanta lekap.

ALAHAN

Radang atau iritasi terjadi kerana mata dimasuki bahan-bahan pembawa alahan seperti debu, serbuk atau makanan ke dalam mata.

Gejala: Rasa gatal, mata menjadi merah dan kelopak mata membengkak. Umumnya, alahan terjadi secara bermusim dan pemakai memang mempunyai sejarah alahan.
Rawatan: Hindari penyebab alahan. Hilangkan bengkak di mata dengan kompresi air dingin. Mengambil ubat  antiradang apabila terjadi keradangan dan alahan boleh diredakan dengan ubat alahan, antihistamines.

KERATOCONJUNCTIVITIS SICCA / SINDROM MATA KERING

Timbulnya bintik (keratitis) kronik pada kornea bawah. Komplikasi ini disebabkan oleh perembesan air mata pemakai yang tidak mencukupi.

Gejala: Mata rasa seperti terbakar, air mata sering keluar dan cairan di mata berlebihan.
Rawatan: Suplemen air mata atau menggantikan kanta. Sekiranya tidak berhasil, hentikan pemakaiannya.

KORNEAL EDEMA

Cairan dalam kornea menjadi berlebihan sehingga menimbulkan stres pada kornea, biasanya disebabkan oleh mata kekurangan oksigen.

Gejala: Photophobia, penglihatan menjadi kelam, mata merah dan tidak selesa semasa kanta lekap ditanggalkan. Pembuluh darah kelihatan lebih jelas dan timbul superficial punctate keratitis.
Rawatan: Menambah oksigen pada mata. Kurangkan atau menghentikan pemakaian kanta lekap.

INFILTRATES

Keradangan pada jaringan mata disebabkan oleh kanta lekap yang kurang bersih, oksigen yang kurang, tindak balas alahan hingga menimbulkan jangkitan.

Gejala: Biasanya, ia kelihatan seperti sekelompok sel berwarna putih. Penglihatan berkurang, mata merah, photophobia dan timbul bintik putih di mata.
Rawatan: Komplikasi ini diatasi dengan menghindari pemakaian kanta lekap, kerap menggantikan kanta lekap, mengambil antibiotik/steroid dan memberikan penekanan terhadap cara pembersihan kanta lekap.

JANGKITAN

Jangkitan terjadi akibat kontaminasi organisme berbahaya ke dalam mata seperti bakteria, kulat, protozoa dan virus.

Gejala: Mata menjadi merah, kelopak mata melekap, air mata meleleh, kurang penglihatan dan bintik pada kornea.
Rawatan: Menjaram dengan air dingin, menggunakan air mata buatan, dan terapi antibiotik, jika perlu.

MICROBIAL KERATITIS

Microbial keratitis terjadi apabila organisme berbahaya seperti bakteria, kulat, protozoa dan virus masuk ke dalam kornea mata hingga mengakibatkan pembengkakkan.

Gejala: Sakit pada mata, photophobia, air mata berlebihan, mata merah, dan penglihatan berkurang. Jika sudah parah, mata mengeluarkan nanah.
Rawatan: Terapi antibiotik, penggantian kanta lekap.

VASKULARISASI KORNEA

Vaskularisasi kornea adalah pembentukan pembuluh darah dalam jaringan avaskular (kornea). Seringkali disebabkan oleh kekurangan oksigen oleh pemakaian kanta lekap yang terlampau ketat.

Gejala: Kurang penglihatan serta timbul pembuluh darah di kornea.
Rawatan: Kurangkan pemakaian kanta lekap atau menggantikannya dengan kanta lensa yang menyokong oksigen sepenuhnya.

GIANT PAPILLARY CONJUNCTIVITIS (GPC)

GPC adalah keradangan papilari pada kelopak atas mata. Penyebabnya masih belum diketahui hingga kini walau ada yang mengaitkannya dengan pemakaian kanta yang berpanjangan.

Gejala: Gatal-gatal, penglihatan berkurang, kanta lebih banyak bergerak-gerak, tidak boleh memakai kanta biasa dan kelopak mata membengkak.
Rawatan: Kurangkan pemakaian kanta, menjaram air dingin, berjumpa doktor mata dengan segera.

Justeru, pencegahan dari timbulnya komplikasi akibat pemakaian kanta lekap adalah jauh lebih baik daripada mengubati. 

Setiap individu yang memakai kanta lekap berpotensi mengalami komplikasi-komplikasi yang disenaraikan sekiranya penjagaan kanta lekap dipandang remeh.

Oleh itu, kekerapan membersihkan kanta lekap serta jangka masa pemakaiannya sebagaimana yang disarankan perlulah dititikberatkan bagi mengelak sebarang kemungkinan.