Monday, March 5, 2012

Cacar Air (Chicken Pox)


                                                                               


Chicken Pox juga dikenali sebagai cacar air, jintungan atau bertih (mengikut dialek daerah). Ia disebabkan oleh virus Varicella (kumpulan virus herpes) dan amat mudah berjangkit. Ia berlaku pada semua peringkat umur, biasanya kepada kanak-kanak. Ia akan menjadi lebih teruk sekiranya berlaku kepada orang dewasa. Rebakan berlaku melalui sentuhan atau titisan cecair daripada orang dijangkiti. Rebakan juga berlaku melalui bahan tercemar dengan cairan cacar seperti pada pakaian atau tuala daripada penghidap chicken pox. 

Penghidap Chicken Pox mampu menyebarkan virus sehingga 48 jam sebelum ruam timbul dan boleh terus menjangkitkan orang lain sehingga cacar air menjadi kering dan berkeruping. Kayap (herpes zoster) ialah infeksi daripada virus yang sama dan juga boleh menjangkiti orang dewasa.

Tanda dan Gejala
  • Penghidap chicken pox akan mengalami demam dengan bintik-bintik merah pada kulit. Kawasan bintik-bintik merah melibatkan muka, kepala, dada, belakang dan akhirnya seluruh tubuh. Ruam chiken pox akan timbul kurang daripada 2 minggu selepas jangkitan berlaku. 
  • Bintik-bintik merah yang baru akan mula timbul dalam masa beberapa hari dan bilangan boleh mencecah ratusan biji dan kemudian membentuk gelembung berisi cecair. Apabila gelembung berisi air pecah ia akan menjadi kering dan berkeruping. Rasa gatal sederhana atau teruk menyebabkan pesakit terpaksa menggaru dan akhirnya menyebabkan parut pada tubuh.
  • Gejala lain ialah sakit perut, tiada selera makan, sakit kepala, rasa tidak selesa, letih dan terganggu. Penghidap juga ada batuk ringan, hidung berair dua hari sebelum bintik-bintik merah timbul. 

Komplikasi
Ruam atau cacar air, Chicken Pox akan berkurangan dalam jangka masa 2 minggu dan biasanya tiada komplikasi. Adakalanya penyakit ini boleh menjadi teruk walaupun pada kanak-kanak yang sihat serta mengakibatkan komplikasi teruk termasuklah kematian. Berikut merupakan kumpulan yang berisiko untuk menerima jangkitan serta mendapat komplikasi teruk:
  • Bayi yang baru lahir, di mana si ibu tidak pernah menghidapi Chicken Pox atau menerima pelalian Chicken Pox.
  • Ibu mengandung, jangkitan menyebabkan kesan pada bayi dalam kandungan seperti tak cukup berat dan kecacatan anggota. Sekiranya si ibu menghidap Chicken Pox seminggu sebelum kelahiran, ia boleh menyebabkan jangkitan serius serta membahayakan nyawa bayi.
  • Orang yang lemah atau kurang daya tahan penyakit seperti HIV, barah sumsum tulang (leukaemia) dan pesakit kanser yang melalui rawatan kemoterapi. Orang yang mengambil steroid berpanjangan seperti pesakit asma dan sindrom nefrotik.
  • Penghidap penyakit radangan kulit (inflammation eczema). 

Komplikasi akibat Chicken Pox: 
  • Jangkitan kulit- menjadi lebam merah, bengkak dan sakit. Dehidrasi akibat muntah berterusan atau tidak minum air. Tanda dehidrasi ialah kurang kencing, mulut kering dan dahaga.
  • Kerosakan otak akibat radangan otak. Tanda-tanda radangan otak ialah sakit kepala yang teruk, keliru, mudah marah, kekejangan leher dan belakang serta tidak sedarkan diri. 
  • Radang sendi- sendi menjadi sakit, kejang dan bengkak.
  • Jangkitan paru-paru (Pneumonia)- tanda-tanda seperti batuk, sukar bernafas, pernafasan berbunyi (wheezing) dan sakit dada.

Rawatan

Ubatan antiviral :

Acyclovir atau immuno globulin diguna untuk merawat Chicken Pox. Rawatan ini amat mujarab sekiranya diambil segera dalam tempoh 24 jam selepas dijangkiti. Ia akan mengurangkan keterukan dan komplikasi akibat Chicken Pox. Semua orang dewasa boleh memanfaatkan rawatan antiviral pada awal penyakit terutama yang kurang sistem daya tahan penyakit (orang lanjut usia, pesakit diabetes, penghidap HIV/ AIDS serta yang menerima rawatan steroid).

Rawatan antibiotik:

Komplikasi akibat Chicken Pox; radangan kulit dan radangan paru-paru memerlukan rawatan antibiotik. Pesakit yang mendapat radang otak hendaklah dimasukkan ke hospital untuk rawatan antivirus.

Rawatan di rumah: 
  • Sapu losyen calamine.
  • Ubatan antihistamin bagi mengurangkan gatal-gatal.
  • Panadol(Paracetamol) untuk demam.

Pencegahan 
Pelalian memberi ketahanan sepanjang hayat, diberi pada umur 12-18 bulan. Pemberian pelalian- bawah umur 13 tahun hanya menerima 1 dos, selepas umur 13 tahun. 2 dos, selang masa 4-8 minggu antara dos 1 dengan dos 2. Pelalian aktif diberi kepada kanak-kanak berisiko (antara 1- 5 tahun) sekiranya ahli keluarga ada Chicken Pox.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.