Thursday, March 17, 2011

Jerawat- Punca dan Pencegahan


                                                                    
Jerawat kebiasaannya adalah masalah bagi anak muda, akan tetapi ia juga melibatkan golongan dewasa. Jerawat terjadi apabila kelenjar minyak mengeluarkan terlalu banyak minyak dan sebum di kulit terutamanya di muka , dada dan belakang badan iaitu kawasan yang mempunyai banyak bulu roma.
Liang minyak yang tersumbat akan menjadi bintik putih jika ia terjadi di bawah kulit atau bintik hitam jika di lapisan luar kulit. Kulit akan menjadi kemerahan jika radang terbentuk di sekeliling liang tersebut.

Lebih besar kawasan radang, lebih mudah  bagi nanah berkumpul dan akan meninggalkan parut jerawat jika tiada rawatan dan ubat yang sesuai digunakan. Menghilangkan parut jerawat lebih sukar apabila rawatan diabaikan.

Wajah muka yang penuh dengan parut jerawat sudah tentu akan menghilangkan seri dan keyakinan diri.

Punca jerawat:
  • Faktor hormon terutamanya golongan perempuan dalam lingkungan umur subur adalah punca utama kepada masalah jerawat. Majoritinya adalah dalam belasan tahun dan awal 20 'an.
  • Faktor seperti ahli keluarga yang berjerawat juga memainkan peranan kepada masalah ini.
  • Penggunaan pil perancang, ubat steroid, vitamin B12.
  • Kosmetik, pakaian yang ketat atau apa-apa sahaja yang menutup liang minyak memberi masalah jerawat pada kulit.
  • Sesetengah  jerawat timbul akibat ketegangan dan stress emosi yang dihadapi setiap hari. Hal ini mungkin akan menyebabkan penghasilan minyak dan sebum dikulit yang bertambah.
  • Terdedah kepada asap dan bahan kimia atau faktor alam sekitar seperti cuaca panas.
Kebanyakan jerawat akan hilang sendiri jika kulit sentiasa bersih dan sihat. Akan tetapi, sesetengah daripadanya boleh menjadi teruk dan kronik.

Petua-petua dan cara-cara menghilangkan jerawat:
  • Bahan paling mudah bagi mengeringkan jerawat adalah krim yang mengandungi Benzoyl peroxida. Dalam kepekatan 5 atau 10 peratus, ia cepat mengering dan memudahkan sumbatan liang minyak tanggal. Kesannya boleh dilihat dalam tempoh empat hinga enam bulan.
  • Basuh kulit setiap hari tapi jangan terlalu kasar atau kerap.
  • Gunakan pencuci kulit muka yang lembut dan air. Pencuci yang mengandungi granule boleh juga digunakan.
  • Cuba elakkan sauna muka kerana ia mungkin menjadikan jerawat bertambah teruk.
  • Jaga pemakanan anda. Elakkan memakan makanan yang mungkin membuatkan jerawat menjadi lebih teruk. Setiap orang mempunyai alahan terhadap makanan yang tertentu.
  • Dapatkan rehat yang cukup kerana jerawat mungkin timbul akibat perasaan tertekan, bermasalah dan badan yang letih.
  • Memakai pakaian bersenam atau harian yang longgar. Memakai pakaian ketat, tudung atau headband ketat daripada kain yang tidak meresap peluh mampu menambahkan pengeluaran minyak dan risiko jerawat akibat kulit berminyak.
  • Pilih fesyen rambut yang tidak terlalu menutup wajah dan jaga rambut supaya tidak berminyak yang biasanya datang dari kulit kepala yang kuat berpeluh. Penggunaan bahan penjagaan rambut berminyak harus dielakkan. Ikat rambut ketika tidur supaya ia tidak menutup muka.
  • Gunakan mekap muka yang berasaskan air. Belilah mekap yang mengandungi "noncomedogenic" atau "nonacnegenic".
  • Cuci mekap sebelum tidur. Jangan terlalu banyak menggunakan pelembab kulit muka terutamanya pada waktu malam.
  • Elakkan cahaya ultra ungu daripada matahari atau lampu. Pendedahan yang melampau atau terlalu lama akan merosakkan kulit dan lapisan kulit akan menjadi tua premature serta menutup liang sebum.
  • Jangan picit jerawat kerana ia akan menambahkan radang pada kulit dan kulit akan menjadi berlubang serta berparut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.