Thursday, March 17, 2011

Kesan Sampingan Kemoterapi(Rawatan Kanser)

                                                                   
Kesan Sampingan Yang Boleh Dijangkakan
Ubat anti kanser mendatangkan pelbagai kesan sampingan yang berlainan. Tidak semua pesakit kanser mengalami kesan sampingan serupa dengan ubat yang sama dan ada juga pesakit yang mengalami kesan sampingan yang sedikit. Seseorang pesakit tidak mungkin mengetahui reaksi mereka terhadap ubat tersebut sehingga dirawat dengan ubat tersebut.

Berapa Lamakah Tempoh Kesan Sampingan
Kemoterapi?
Oleh sebab sel-sel biasa sembuh dengan cepat, kesan sampingan yang dialami biasanya akan hilang selepas rawatan berakbir. Walaupun kebanyakan kesan sampingan hilang dengan agak segera, ada juga yang mengambil masa lebih lama untuk hilang sepenuhnya. Masa yang diambil untuk menghilangkan kesan sampingan adalah berbeza dengan setiap pesakit dan ini bergantung kepada banyak faktor termasuk kesihatan keseluruhan dan jenis ubat yang diambil. Ia amat menggalakkan untuk mengetahui bahawa kebanyakan pesakit yang menjalani kemoterapi tidak mengalami kesan sampingan jangka panjang. Lebih meyakinkan lagi adalah pengetahuan bahawa pakar penjagaan kesihatan telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam menangani sebahagian daripada kesan sampingan kemoterapi yang lebih serius.

Di Dalam Dunia Yang Ideal ...
Apabila merawat pesakit kanser dengan kemoterapi, adalah lebih ideal jika sekiranya pakar penjagaan kesihatan boleh merawat bahagian di mana kanser wujud sahaja. Malangnya, perkara sedemikian tidak selalu dapat berlaku. Kemoterapi menghapuskan sel yang terbahagi dengan kerap, seperti sel kanser. Namun begitu, rawatan ini tidak hanya menghapuskan sel kanser tetapi juga sel biasa yang terbahagi dengan cepat. Sel sedemikian terdapat di dalam

• Mulut
• Kulit
• Sum-sum tulang
• Saluran penghadaman
• Rambut
• Sistem saraf
• Buah pinggang, pundi kencing dan paru-paru
• Sistem pembiakan

Oleh sebab tisu sihat juga mungkin rosak semasa kemoterapi, rawatan mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan. Jika doktor telah memilih kemoterapi sebagai rawatan bersesuaian untuk anda, ia amat penting untuk anda mempelajari bagaimana untuk menguruskan kesan sampingan yang mungkin anda alami.

Bilakah Anda Harus Menghubungi Doktor Anda?
Selepas menerima rawatan kemoterapi, jika anda mengalami kesan sampingan seperti kelesuan yang keterlaluan, perubahan dalam kebiasaan sistem usus, demam, loya atau muntah, hubungi doktor anda dengan segera. Doktor anda boleh memberikan anda rawatan tertentu untuk membantu merawat kesan sampingan tersebut.


Anemia
Anemia ialah kesan sampingan yang dialami oleh lebih daripada 50 peratus pesakit yang menjalani kemoterapi. Kemoterapi mengurangkan keupayaan sum-sum tulang untuk menghasilkan sel darah merah yang membawa oksigen ke semua bahagian badan. Apabila terdapat kekurangan sel darah merah, tisu badan anda tidak mendapat oksigen yang cukup untuk berfungsi. Keadaan yang dikenali sebagai anemia ini mungkin dapat dikenal pasti oleh perasaan kelesuan yang keterlaluan, kelemahan, keletihan, kepucatan dan/atau pening-pening.

Sembelit
Oleh sebab ubat anti kanser boleh menyebabkan perubahan dalam kebiasaan sistem usus, anda mungkin mengalami sembelit. Kekurangan aktiviti fizikal dan diet tidak seimbang juga boleh menjadi faktor penyumbang.

Kemurungan
Kanser mungkin mengganggu cara hidup dan mengancam impian serta cita-cita yang bermakna dalam kehidupan seseorang. Tekanan fizikal dan emosi yang diakibatkan oleh kanser dan rawatannya pada badan biasanya menyebabkan kemurungan.

Cirit-birit
Cirit-birit boleh berlaku apabila kemoterapi merosakkan sel yang melapisi usus. Jika anda mengalami kesakitan dan kekejangan serta cirit-birit atau jika anda mengalami cirit-birit melebihi 24 jam, sila hubungi doktor anda.

Kelesuan
Kelesuan ialah apabila seseorang berasa lemah atau penat lebih pantas daripada biasa selepas aktiviti fizikal, mental atau emosional. Kelesuan ialah kesan sampingan utama kemoterapi. Ada banyak penyebab kelesuan dan biasanya anemia merupakan punca utamanya.

Keguguran rambut
Doktor boleh memberitahu anda sama ada keguguran rambut (alopesia) boleh berlaku dengan ubat yang anda ambil. Keguguran rambut boleh berlaku pada semua bahagian badan. Apabila keguguran rambut berlaku, rambut biasanya akan tumbuh semula selepas rawatan kemoterapi berakhir.

Jangkitan
Kemoterapi boleh menyebabkan anda mudah mendapat jangkitan. Ini berlaku kerana kebanyakan ubat antikanser mempunyai kesan ke atas sum-sum tulang dan mengurangkan keupayaannya untuk menghasilkan sel darah putih yang membantu anda melawan jangkitan.

Kehilangan Selera Makan
Sebahagian daripada perubatan kemoterapi mungkin mempengaruhi sel sistem penghadaman – menyebabkan kehilangan selera makan, loya dan cirit-birit.

Masalah Mulut, Gusi dan Kerongkong
Penjagaan oral yang baik penting semasa rawatan kemoterapi dijalankan kerana ubat anti kanser boleh menyebabkan kerengsaan di dalam mulut atau kerongkong anda. Selain daripada kesakitan, kerengsaan mulut boleh dijangkiti kuman di dalam mulut anda.

Loya dan Muntah-muntah
Loya dan muntah-muntah selalunya boleh dikawal atau dikurangkan dengan pengubatan.

Masalah Seksual
Lelaki - Pengubatan kemoterapi mungkin mempengaruhi sel sperma yang boleh menyebabkan ketidaksuburan sementara atau kekal.

Wanita - Kitaran haid mungkin tidak menentu atau terhenti sepenuhnya semasa menjalani rawatan kemoterapi. Wanita juga boleh mendapat jangkitan vagina dan mungkin mengalami simptom menopaus seperti berasa panas. Kesan-kesan sampingan ini biasanya adalah kesan  jangka pendek rawatan dan akan hilang akhirnya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.